Perkahwinan bukan untuk sehari dua
Perkahwinan bukan untuk sehari dua
Medan perkahwinan merupakan satu fasa yang agak besar dan baru bagi mereka masih ‘single’ dan bakal berkahwin. Kita mungkin biasa dengar ada pepatah yang menyebutkan...
Medan perkahwinan merupakan satu fasa yang agak besar dan baru bagi mereka masih ‘single’ dan bakal berkahwin. Kita mungkin biasa dengar ada pepatah yang menyebutkan;
“Keseronokan kahwin itu hanya satu bulan”.
Bunyinya agak tidak munasabah. Masakan perkahwinan yang begitu bahagia, cuma bertahan satu bulan?
Namun bukan itu maksud ungkapan. Isyaratnya lebih kepada menyedarkan anak-anak muda bahawa perkahwinan, tidak cukup dengan seronok-seronok sahaja. Kalau berasa cukup dengan seronok-seronok, padahnya menanti selepas sebulan.
Kerana hakikatnya, perkahwinan adalah medan realiti yang menghimpunkan tangis dan ketawa, bukan hanya ketawa semata-mata. Ia juga menghimpunkan senyum ceria dan masam mencuka, bahkan kadangkala marah membara. Paduan dan himpunan kesemua inilah yang melahirkan kalimah ‘rumahtangga’. Boleh jadi kalau hanya ada ketawa dan suka ceria, ia bukan rumahtangga, sebaliknya hanyalah tangga sahaja.
Sebab itulah amat berat bagi ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka untuk berkahwin terutama bagi pasangan yang masih sangat muda dan belum cukup ilmu terutama dalam rumah tangga. Bahkan, selain daripada ilmu yang cukup, persiapan dari segi ekonomi dan kewangan juga merupakan satu hal yang sangat besar bagi membina keluarga.
Perubahan.
Ramai anak muda agak tidak berpuas hati apabila keinginan mereka untuk berumah tangga seolah tersekat dengan ketidakyakinan orang tua. Mereka merasakan alasan ‘mereka masih muda’ atau ‘banyak lagi perlu diubah’ adalah tidak relevan, kerana dalam diri mereka sendiri benar-benar telah wujud satu tekad dan keazaman yang jitu untuk melakukan perubahan.
Mereka yakin yang mereka sedar, perubahan itu suatu yang mesti dalam menuju perkahwinan. Maka mereka membuat perubahan pada sikap, cara berfikir dan cara bertindak. Azam untuk mendirikan masjid menjadi tonggak utama yang menyokong perubahan tersebut.
Namun di pihak orang tua, sekali lagi mereka bukanlah menafikan kesediaan anak muda untuk berubah. Mereka tahu, anak muda yang ingin berkahwin di usia muda bukan calang-calang anak muda. Anak muda yang tiada inovasi dalam diri tidak akan berfikir untuk berkahwin kerana masih muda.
Jangan hangat-hangat tahi ayam.
Anak muda jika benar mahu mendirikan rumah tangga dan berkahwin janganlah seperti peribahasa melayu ‘hangat-hangat tahi ayam’. Sebab apa? Kerana mereka yang mempunyai sikap seperti ini adalah mereka yang bersemangat pada permulaan sahaja, tetapi mengabaikan pada pengakhirannya.
Perkahwinan bererti anda dan pasangan akan bersama-sama mengharungi kehidupan ini secara bersama-sama bagi membina sebuah keluarga. Ia akan menentukan sama ada perkahwinan anda itu akan menjadi syurga atau neraka bagi anda. Sama ada ia membawa kebahagian atau kesengsaraan untuk kehidupan anda.
Semangat berkobar-kobar hanya untuk bulan-bulan pertama, dan bulan madu. Kemudiannya apabila didatangi jemu, bosan, terbeban, lemah semangat dan sebagainya, mengeluh tidak tenang dan tidak senang, sehingga sampai ke tahap mahu membubarkan perkahwinan. Inilah yang ditakuti dan dibimbangi.
Apa yang patut dilakukan.
Berkahwinlah dengan suatu persediaan. Bukan hanya persediaan untuk berumah tangga, sebaliknya persediaan untuk terus sedia berubah dan mengekalkan momentum perubahan. Berkahwin bukan semata-mata untuk diri dan pasangan, sebaliknya untuk Allah.
Perkahwinannya adalah jalan ke syurga, bukan terhenti setakat di dunia.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?