Minat Seseorang Tapi Tak Tahu Macam Mana Nak Luah?
Minat Seseorang Tapi Tak Tahu Macam Mana Nak Luah?
"Orang tengah ataupun wakil boleh menjadi perantaraan untuk anda menyampaikan isi hati kepada orang yang anda suka..."
Meluahkan perasaan hati kepada seseorang yang anda minat bukanlah suatu perkara yang mudah bagi sesetengah orang. Ia memerlukan kekuatan dan keyakinan diri untuk menyampaikan isi hati anda itu. Tidak kiralah anda seorang lelaki ataupun seorang perempuan yang pada pandangan saya, mungkin lebih hebat cabarannya. Namun begitu, apabila anda suka atau minat pada seseorang, janganlah berdiam diri. Jika anda diam, macam mana si dia yang anda suka hendak tahu tentang perasaan anda itu?
Tidak salah mencuba untuk memberitahu si dia. Ya kan?
Sebenarnya di dalam Islam, kita digalakkan untuk memberitahu isi hati jika kita suka dengan seseorang. Namun dengan syarat, suka dan minat pada si dia disertai niat untuk berkahwin dengannya. Bukan sekadar suka-suka sahaja.
Kisah Seorang Wanita Yang Melamar Rasulullah S.A.W.
Di dalam sirah Rasulullah S.A.W. ada satu kisah berkenaan dengan seorang wanita yang minat dan suka pada Rasulullah S.A.W. Wanita itu telah melamar Rasulullah S.A.W. di hadapan beberapa orang sahabat secara berterus terang. Kisah ini dinukilkan seperti berikut;
Ia diceritakan oleh Anas R.A. di dalam hadis riwayat Imam Bukhari. Ketika Anas R.A. berada bersama Rasulullah S.A.W, dan anak perempuan Anas juga ada bersama mereka, datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W. lantas bertanya:
“Wahai Rasulullah S.A.W, adakah engkau mahukan aku (sebagai isterimu)?”.
Anak perempuan Anas R.A. lantas berbisik kepada ayahnya : “Bagaimana dengan wanita ini, tidakkah dia malu melamar begitu kepada Rasulullah S.A.W. Tidakkah dia punya harga diri.”
Lalu Anas R.A berkata: “Dia lebih baik daripada engkau. Dia cintakan Rasulullah, lantas menawarkan dirinya untuk Rasulullah.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Seorang ulama yang bernama Syeikh Badruddin Mahmud Al-Aini telah memberi ulasan mengenai hadis ini. Katanya:
“Kata-kata Anas R.A kepada anak perempuannya menunjukkan bahawa harus seorang wanita menawarkan diri untuk dinikahi oleh seorang lelaki yang soleh, dan diketahui bahawa wanita itu melamarnya kerana kesolehan dirinya atau kerana kemuliaan dirinya, atau kerana nilai-nilai beragama yang wujud pada dirinya, dan itu tidaklah mencacatkan maruah wanita tersebut bahkan menunjukkan kepada ketinggian jiwa wanita tersebut.”
(Umdatul Qari ala Syarh Al Bukhari)
Beberapa Tip Untuk Meluahkan Perasaan
1. Maklumkan Pada Orang Tengah Atau Wakil
Orang tengah ataupun wakil boleh menjadi perantaraan untuk anda menyampaikan isi hati kepada orang yang anda suka. Mereka yang menjadi orang tengah mestilah memiliki sifat amanah dan ‘thiqah’ (boleh dipercayai). Kaedah ini jugalah yang digunakan oleh Saiditina Khadijah R.A. bagi melamar Rasulullah S.A.W. dengan menggunakan orang tengah yang bernama Nafisah iaitu merupakan teman baiknya.
Wakil perantara sebenarnya boleh sahaja terdiri daripada kalangan ahli keluarga anda sama ada ibu dan bapa, saudara atau sesiapa sahaja yang anda percaya. Mungkin juga anda boleh memilih teman atau sahabat rapat yang amanah dan boleh menjaga rahsia. Tugas perantara ini adalah untuk menyampaikan hasrat anda untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan. Kaedah ini adalah lebih baik pada pandangan saya dan ia sebenarnya lebih menjaga maruah sekiranya hasrat hati anda ditolak.
2. Menggunakan Medium
Selain itu, anda boleh menggunakan medium seperti private mesej di laman Facebook, Instagram, WhatsApp atau bermacam-macam jenis media sosial yang ada pada masa kini. Zaman sekarang, pembangunan teknologi semakin hari semakin pesat membangun. Oleh sebab itu, anda mesti mengambil peluang dan kesempatan untuk menggunakan teknologi ini dengan sebaiknya. Tip ini sangat sesuai bagi mereka yang mungkin malu untuk memberitahu dengan secara berterus terang.
Namun jika anda ada sedikit keberanian untuk bercakap, anda juga boleh menyatakan isi hati anda itu dengan cara menelefon terus pada si dia yang anda suka. Sesetengah kes untuk lelaki, ada perempuan yang lebih suka lelaki yang ada sifat ‘gentleman’ berbanding dengan lelaki yang pemalu. Ya, ini betul!
3. Jumpa ‘Face To Face’
Tip yang seterusnya bagi anda yang ada keberanian juga boleh menggunakan pendekatan berjumpa dengan secara terus calon pasangan yang anda suka. Jumpa dan kemudian suarakan isi hati. Ya, saya faham. Kaedah ini merupakan kaedah yang sangat mencabar dan berisiko. Namun bagi sesetengah orang, mereka mungkin tidak kisah jika ditolak.
Pada pandangan mereka, mereka sudah meluahkan apa yang tersirat dihati. Jika tidak mencuba, mereka tidak akan tahu apa jawapan calon pasangan itu. Dengan meluahkan secara berterus-terang dan berhadapan, perasaan mereka mungkin sedikit lega. Pada saranan saya, jika anda ada kemampuan untuk membuat tip ini, sebaiknya biarlah berteman. Ia bertujuan bagi mengelakkan fitnah yang mungkin timbul.
4. Berjumpa Dengan Wali Si Dia
Tip ini sebenarnya sesuai bagi kaum lelaki. Wali merupakan wakil atau orang yang boleh menikahkan pengantin perempuan. Caranya ialah dengan berjumpa dengan wali si perempuan sama ada ayah dan ibu atau penjaganya serta memaklumkan hasrat hati melalui wali tersebut.
Perlu diingat, berjumpa dengan wali si perempuan yang anda suka ini lebih kepada hubungan silaturahim sambil memberitahu hasrat hati anda sahaja. Bukan tujuan untuk membuat lamaran secara rasmi kerana adat orang Melayu, rombongan meminang biasanya dihadiri kedua-dua ibu bapa atau penjaga. Selain itu juga, jika anda menghantar rombongan meminang secara terus kepada keluarga perempuan, ia mungkin akan mengejutkan pihak perempuan. Oleh itu, merisiklah terlebih dahulu dengan acara santai sahaja. Jangan terburu-buru.
Nasihat Saya
Apabila anda minat seseorang dan anda sudah berusaha untuk memberitahu si dia berkenaan perasaan anda kemudian ditolak, tolong jangan terlalu kecewa. Saya selalu ulang peribahasa ini, ‘bunga bukanlah sekuntum, kumbang juga tidak seekor’. Masih ramai lelaki dan perempuan yang masih bujang dan belum berkahwin. Teruskan pencarian jodoh anda macam biasa.
Jika ditolak, jangan memaksa si dia yang kita suka untuk menerima cinta kita. Cinta bukanlah suatu benda yang boleh dipaksa. Tiada orang yang suka apabila dipaksa, lebih-lebih lagi apabila melibatkan masa depan mereka. Perkahwinan bukanlah suatu benda yang main-main.
Sekali lagi saya tegaskan, jika anda minat kepada seseorang, beritahulah pada si dia. Anda tidak tahu macam mana nasib anda sesudah itu. Mungkin dengan asbab anda meluahkan perasaan itu, siapa tahu anda bertemu dengan jodoh.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?